Ada seorang ustaz pernah berkata,
antara tanda doa yang dimakbulkan adalah doa yang membuatkan bulu roma meremang,
yang hadir dari hati yang paling dalam,
yang lahir bersama air mata yang tidak dapat ditahan.
Aku pernah merasai doa sebegitu, tahun lalu.
Namun, masih ada doa-doaku yang tertunda,
tergantung di langit takdir, menanti jawapan yang belum tiba.
Dan malam ini, untuk kesejuta kalinya,
aku menadah tangan lagi, melafazkan doa yang sama,
berulang-ulang tanpa henti, tanpa jemu.
Air mata menitis, merintik,
hingga menjadi esakan pilu yang menggema dalam sepi.
Hingga telingaku berdengung,
hingga urat-urat di kepalaku menegang,
seakan mahu terputus kerana bebanan yang terlalu bera, tidak betah ku tanggung.
(Hari ini kepalaku masih sakit, mengingatkan tangisan semalam.)
Doaku malam ini terasa lebih syahdu,
kerana seakan-akan langit sendiri tahu,
bahawa khabar gembira itu tidak akan kunjung tiba.
Namun, hati ini masih degil,
masih berkeras mempertahankan satu harapan yang rapuh.
Ya Allah, jika tiada jodohku dengan dia,
aku akan cuba untuk redha.
Tetapi, cabutlah rasa cinta ini, buangkan ia jauh dariku,
agar aku tidak mencintai sesiapa lagi selepas ini.
Biarlah aku membujang hingga tua, Ya Allah,
asalkan hati ini tidak lagi terbebani rindu yang tidak berbalas.
No comments:
Post a Comment